Wednesday, January 6, 2010

Tsunami: 1,000 hilang rumah

tsunami

HONIARA: Tanah runtuh dan tsunami memusnahkan kediaman satu pertiga penduduk sebuah pulau di Kepulauan Solomon dan angka korban terhad kerana penduduknya sempat lari ke tempat lebih tinggi, kata pegawai, semalam.

Kerosakan teruk dilihat dari udara di pulau terpencil selatan kepulauan itu selepas gempa bumi 7.2 skala Richter menyebabkan tanah runtuh di beberapa pulau Kepulauan Solomon, kelmarin, kata Pengarah Pejabat Pengurusan Bencana, Loti Yates.

Tiada kecederaan dilaporkan 30 jam selepas beberapa gempa mencetuskan tsunami membawa ombak setinggi tiga meter melanda pantai.

Lebih 1,000 orang hilang tempat tinggal selepas 200 rumah musnah di Rendova, sebuah pulau 300 kilometer dari ibu kota Honiara. Hanya 3,600 orang menetap di Rendova.

Sementara itu, laporan terbaru menyatakan satu lagi gempa bumi melanda kawasan sama dengan kekuatan 6.9 skala Richter.

Penduduk tempatan berkata, mereka bertuah kerana tsunami berlaku siang hari ketika ramai sudah terjaga.

Peraturan umum di perkampungan dan Gizo ialah ’jika apa-apa berlaku melebihi gegaran 20 saat atau mana-mana air laut surut, lari ke arah bukit,’ kata pemilik kedai menyelam, Danny Kennedy, sambil menambah tsunami itu tidak sampai ke Gizo kali ini.

Pesuruhjaya polis, Peter Marshall, berkata beratus-ratus penduduk kampung terjejas.

"Namun, Pulau Solomon terlepas daripada malapetaka tanpa kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini," katanya kepada Radio Nasional New Zealand.

Gempa terbaru menyebabkan tsunami menghempas pantai Rendova dan Pulau Tetepare berhampiran kira-kira jam 9.30 pagi waktu tempatan kelmarin. Lapan lagi gempa melebihi 5 skala Richter menggegarkan rantau terbabit sebelum itu.
– A

Sumber: Berita Harian(6 Januari 2010)